Monday 4 July 2011

Berhenti kerja kerana dipaksa pakai mekap


LONDON - Seorang gadis berusia 24 tahun, Melanie Stark (gambar) meletakkan jawatan sebagai pembantu jualan di gedung beli-belah Harrods di Knightsbridge kerana dia dipaksa memakai mekap jika mahu terus bekerja, lapor sebuah akhbar semalam.
Menurutnya, dia diarah pulang dari gedung tersebut selepas tidak mematuhi peraturan yang mahu pekerja wanita memakai mekap.
"Saya mengetahui bentuk wajah saya jika saya memakai mekap. Saya pernah menggunakan mekap suatu masa dahulu walaupun saya tidak memakai alat solek di tempat kerja.
"Namun, saya tidak tahu kenapa pada zaman ini, Harrods boleh mengambil hak saya untuk memilih memakai mekap atau tidak," kata Melanie.
Bagaimanapun, seorang jurucakap Harrods menyatakan semua kakitangannya tertakluk pada peraturan pakaian semasa mereka menandatangni perjanjian untuk bekerja dengan gedung itu.

Penggodam hantar mesej Obama mati dibunuh


WASHINGTON - Akaun Twitter stesen FoxNewspolitics milik syarikat penyiaran Fox digodam semalam dengan menyatakan bahawa Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama (gambar) sudah mati ditembak.
Menurut syarikat itu dalam satu kenyataan, laporan mengenai kematian Obama adalah tidak benar kerana presiden berkenaan menghabiskan masa bersama keluarganya semalam.
"Para penggodam telah menghantar beberapa mesej yang menyatakan Obama dibunuh," kata kenyataan daripada syarikat Fox.
Menurut syarikat itu, penggodaman itu sedang disiasat.